Luqman
berkata kepada puteranya, “Puteraku, sekiranya sesuatu menimpamu sama ada kamu
suka atau pun tidak, maka buanglah jauh-jauh godaan dalam hatimu kerana apa
yang tidak menimpamu pada masa itu adalah lebih baik. Mendengar kata-kata itu puteranya berkata,
“Ayahku, aku tidak akan mengendahkan apa yang ayah sampaikan kepada aku
sehinggalah aku memahami daripada maksud hikmah itu.” Luqman berkata, “Sekiranya kamu inginkan
penjelasan apa yang aku katakan kepadamu, marilah kita berjumpa Nabi Muhammad
dan memintanya untuk menafsirkannya.”
Lalu keduanya pun pergi dengan menunggang unta. Selepas menyiapkan segala keperluan air dan
bekalan di sepanjang perjalanan mereka melintasi padang pasir yang panas dan luas. Mereka berasa penat selepas jauh perjalanan
kerana air dan bekalan mereka sudah habis.
Kemudian mereka pun turun dari unta.
Selepas berhenti seketika, mereka pun meneruskan
perjalanan dengan berkaki ayam dan tidak lama selepas itu Luqman melihat suatu
kepulan asap hitam di hadapannya. Beliau
yakin dalam hatinya benda yang hitam itu adalah pepohon dan kepulan asap itu
berasal dari mukim yang ada di sana.
Beliau yakin tempat itu dihuni oleh manusia. Mereka pun menerus perjalanan walaupun mereka
sudah keletihan.
Apabila keduanya berjalan tiba-tiba puteranya Luqman
terpijak serawan tulang. Tulang itu
menusuk ke dalam kakinya sehingga tembus menyebabkan putera Luqman jatuh
pengsan. Luqman pun berfikir bagaimana
cara untuk mengeluarkan tulang itu dari kaki puteranya. Tiba-tiba beliau mendapat petunjuk untuk
mengeluarkan tulang itu dengan menggunakan giginya. Selepas itu, beliau pun membalut kaki
puteranya dengan potongan kain daripada serbannya. Hati Luqman merintih kerana kesakitan yang
menimpa puteranya menyebabkan Luqman menangis dengan air mata yang mengalir
laju sehingga air mata itu menitis di wajah puteranya. Akibatnya, putera Luqman tersedar daripada
pengsan.
Kemudian, putera Luqman mengangkat kepala dan memandang
ayahnya lalu berkata, “Ayahku, aku masih memikirkan apa yang sudah ayah katakan
padaku. Sekarang, di mana kebaikan yang
menimpa kita ini? Air dan makanan sudah
habis. Kita kebuntuan di padang pasir
dan ayah juga tidak tahu apa yang akan ayah lakukan. Ayah pasti tidak sanggup pergi meninggalkanku
bersendirian di tempat yang jauh ini.
Sekiranya ayah pergi, ayah pasti terasa beban di hati yang tidak pernah
hilang. Sekiranya ayah tetap di sini,
maka kematian akan menjemput kita berdua.
Lalu, di manakah kebaikan yang akan kita peroleh?”
Kemudian Luqman berkata, “Puteraku, apa yang aku akatakan
kepadamu adalah benar. Apakah kamu tidak
mengetahui ada bencana yang jauh lebih besar dan Allah yang melindungi kita
daripadanya. Bencana itu jauh lebih
berat daripada perkara yang kita alami sekarang.”
Di saat keduanya sedang berdebat, Luqman mengarahkan
pandangannya jauh ke depan dan dia tidak melihat lagi kepulan asap dan benda
yang hitam tadi. Beliau pun tertanya-tanya dalam hatinya, “Ke mana
benda yang hitam dan kepulan asap yang aku lihat tadi?”
Tidak
lama kemudian, datang seseorang dengan mengunggangi kuda dari arah depan dan
berteriak memanggilnya lalu berkata, “Apakah kamu yang bernama Luqman?” Luqman menjawab, “Ya.” Kemudian orang itu bertanya, “Apakah kamu
seorang yang bijak?” Luqman menjawab,
“Begitulah orang-orang menyebutku.”
Orang itu berkata lagi, “Anak ini tidak mengetahui apa yang
dikatakannya. Seandainya kamu berdua
tidak mengalami kesusahan dan bencana ini, pasti pada saat ini kamu akan
terkubur dalam bumi seperti apa yang menimpa orang-orang sebelum kamu.” Pada masa itulah Luqman berkata kepada
puteranya, “Puteraku, sudahkah kamu mengetahui kebenaran apa yang aku
katakankepadamu apa yang menimpa seorang hamba, baik yang disukai mahupun
dibenci, mengandungi kebaikan baginya.”
Keduanya bangkit dan pulang.
-Syarif
Hade Masyah. (2010). Menjadi Ibu Bapa
Genius Berdasarkan Nasihat Luqman Al-Hakim Seorang Tokoh Keibubapaan
yang disebut Allah di dalam Al-Quran.
PTS Millenia Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment